05 July 2009

Travel











Bandaraya Warisan Dunia

Melaka telah mendapat status sebagai Bandaraya Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008. Ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan badan dunia terhadap usaha berterusan Kerajaan Negeri Melaka mengekal dan memulihara bangunan serta tapak warisan sejarah sejak 500 tahun lalu.

Pengiktirafan ini sudah tentu mengembirakan semua pihak kerana ia akan meletakkan nama Melaka dan Malaysia dalam senarai peta dunia sebagai Bandaraya Warisan Dunia, setanding dengan bandaraya lain di seluruh dunia. Kini Melaka menawarkan produk pelancongan beru termasuk menaiki menara berputar Taming Sari, Eye On Malaysia, Eye On Melaka dan menaiki bot menyusuri Sungai Melaka. Bertuah jika anda datang berkunjung ke sini kerana melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia.

Saya yakin Melaka akan terus menjadi tarikan dan destinasi pelancongan yang unggul pada masa depan sama ada oleh pelancong domestik atau asing. Sudah pasti selepas ini akan membawa jutaan pelancong ke negara kita khususnya Melaka dan Georgetown. Ini kerana publisiti akan diberi setiap hari oleh UNESCO.

Banyak peluang-peluang ekonomi yang diperolehi hasil daripada pengiktirafan ini. Kerajaan negeri terus menggunakan kekuatan sektor pelancongan untuk menjana pendapatan penduduk sebagai langkah menangani krisis kemelesetan ekonomi global. Dengan jumlah kedatangan pelancong yang meningkat, ia dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaaan dan perkhidmatan kepada rakyat Melaka.

Pengiktirafan ini meletakkan negara kita setanding dengan bandaraya warisan dunia yang lain. Tahniah juga diucapkan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Kerajaan Negeri, PERZIM, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan semua pihak yang bekerja kuat bagi mendapat pengiktirafan ini. Pengiktirafan ini akan dipantau oleh UNESCO kerana Melaka dan Georgetown akan menjadi tumpuan pelancong dan pakar-pakar penyelidik pembangunan Bandar Warisan Dunia.

Kebudayaan Melaka bermula lebih daripada enam kurun dimana pelbagai adat etnik dan tradisi diadun sempurna. Kehidupan aman rakyat Melaka berpunca daripada kehidupan pelbagai kaum yang telah melahirkan orang-orang Melayu, Cina, India, Baba dan Nyonya, Portugis, Chitty dan Eurasia. Setiap kumpulan etnik ini memberi citarasa yang berbeza rakyat Melaka yang terkenal sebagai rakyat yang peramah.

Setiap kaum ini memegang teguh tradisi mereka dan ini dapat dilihat melalui makanan, adat keagamaan, festival, budaya, rekabentuk, pemakaian, barang kemas dan kraftangan. Hari ini Melaka mempunyai banyak perkara untuk ditawarkan kepada pelancong seperti budaya, adat istiadat, tempat-tempat bersejarah, festival keagamaan, sambutan perayaan tradisional di bandar Melaka serta Alor Gajah dan Jasin.






Sejarah Melaka

Kemasyhuran Melaka telah bermula seiring dengan keadaan di mana negara-negara Eropah sedang membuka langkah untuk meluaskan lagi kuasa mereka ke benua Timur dan Melaka merupakan antara bandar pelabuhan yang menarik perhatian mereka. Pada tahun 1509, Diego Lopez De Squera dari Angkatan di Raja Portugal merupakan angkatan Portugis pertama telah tiba di Melaka. Selepas serangan bertubi-tubi pada tahun 1511, Melaka akhirnya telah berjaya ditawan oleh angkatan Portugis yang diketuai oleh Alfonso d’ Albuquerque.

Sultan Mahmud Syah, pemerintah Melaka ketika itu, telah berundur ke Johor dan setelah bertapak di situ, orang Melayu cuba menyerang kembali orang Portugis tetapi tidak berjaya. Salah satu sebab yang menjadi kekuatan pihak Portugis adalah pembinaan Kubu A’ Famosa sebagai benteng pertahanan mereka.

Kubu A’ Famosa telah memantapkan lagi kuasa Portugis di Melaka selama 130 tahun. Sehinggalah pada tahun 1641, Melaka akhirnya jatuh ke tangan Belanda melalui serangan dan pertempuran yang sengit di antara kedua-dua pihak. Bandar Melaka hampir musnah dan dalam tempoh satu setangah abad, Belanda telah membinanya semula dan menjadikannya sebagai pangkalan tentera kerana lokasinya yang strategik bagi mengawal Selat Melaka.

Pada tahun 1795, semasa Peperangan Napoleon, Melaka telah diserahkan kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris buat sementara bagi mengelakkan ianya ditawan oleh negara Perancis. Melaka telah dipulangkan semula kepada Belanda pada tahun 1818, melalui Perjanjian Venice. Melalui Perjanjian Anglo-Belanda atau Perjanjian London 1824 yang mengasingkan kawasan jajahan British dan Belanda, British kembali menguasai Melaka serta kawasan utara selat dan Singapura manakala Belanda di bahagian selatan selat (Kepulauan Indonesia).

Dari tahun 1826, Melaka ditadbir oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris yang berpengkalan di India . Pada tahun 1827, Negeri-negeri Selat (iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura) telah menjadi tanah jajahan British dan diletakkan di bawah pemerintahan Pusat di London. British telah meneruskan kuasanya di negeri-negeri Melayu sehinggalah berlakunya Perang Dunia ke-2.

Selepas tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, British kembali menyambung penguasaannya di Tanah Melayu sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu diisyhtiharkan merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaya yang pertama pada 31 Ogos 1957.







Bukit St. Paul (A’Famosa)

Kubu A'Famosa memainkan peranan yang amat penting bagi pihak Portugis bagi mengekalkan kuasa mereka kerana Melaka adalah pusat perbalahan antara kuasa-kuasa besar dan sering diancam serangan.
Perkarangan kubu itu pada masa dahulu mengandungi rumah, tempat menyimpan makanan, istana dan tempat mesyuarat bagi Majlis Portugis dan wakil lima buah gereja.
Jika sekarang ini anda mengunjungi Kubu A’Famosa, anda akan dapat melihat bekas serangan pihak Belanda yang berterusan selama tujuh bulan lamanya hampir memusnahkan keseluruhan kubu tersebut di mana hanya pintu gerbang masuk dan bangunan gereja di atas bukit sahaja yang tinggal.
Pergilah berjalan-jalan mendaki Bukit St. Paul pada lewat petang ketika cuaca lebih nyaman dan bersiar-siar di bawah pokok-pokok besar dan melihat peninggalan sejarah yang dapat dilihat hingga hari ini. Dapat anda bayangkan kegemilangan dan penderitaan yang melanda pihak Portugis di sini pada suatu waktu dahulu.
Jalan Hang Jebat (Jonker Walk)
Jalan Hang Jebat adalah destinasi yang mesti dilawati oleh penggemar barangan antik dan pembeli yang mahukan barangan pada harga berpatutan. Bahan artifak dan peninggalan sejarah yang berusia lebih 300 tahun boleh ditemui di sini di antara pelbagai jenis barangan lama yang setiap satu mempunyai sejarah dan kisahnya yang tersendiri.
Jalan Hang Jebat yang dahulunya dikenali sebagai Jonker Walk amat popular di kalangan pengumpul barangan antik sebagai salah satu tempat utama untuk mendapatkan barangan antik pada harga yang berpatutan. Beberapa buah kafe dan kedai kraf telah dibuka di sini lalu memberikan kawasan ini keunikan suasana 'yang lama-bertemu yang baru'.
Jonker Walk, yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka, adalah inovasi terbaru kerajaan Melaka untuk mempertingkatkan sektor pelancongan negeri Melaka. Dari segi konseptual, Jonker Walk mewakili kepelbagaian pensejarahan penduduk semasa negeri Melaka. Dari segi ekonomi, Jonker Walk membuka ruang kepada mereka yang turut serta dalam pembangunannya untuk memilih dan mentransformasikan ciri-ciri etnik dan budaya kepada produk pelancongan berproduktif dan berfaedah ekonomi. Dari segi pelancongan, pengumpulan penduduk Melaka yang pelbagai etnik, masing-masing 'menjual' sesuatu daripada budayanya di suatu lokasi yang sama, mewujudkan suatu tapak pelancongan budaya yang menarik.
Jonker Walk yang merangkumi laluan sepanjang 400 meter menjadi lubuk barangan antik, galeri seni, barangan kraf serta deretan bangunan lama zaman penjajah. Pengaruh dan gaya seni bina mencerminkan interaksi budaya pada era itu hingga mewujudkan pengaruh serta budaya peranakan atau Baba dan Nyonya serta Serani.
Perniagaan di Jonker Walk bermula jam 10 pagi hingga 6 petang pada hari biasa dengan waktu perniagaan dilanjutkan hingga jam 10 malam pada hujung minggu. Malah, pada hujung minggu, jalan berkenaan ditutup kepada lalu lintas bagi membolehkan pengunjung berjalan kaki sambil menikmati keindahan seni bina serta ‘mencuci mata’ dengan pelbagai barangan jualan.

No comments:

Post a Comment