05 July 2009

Nota Editor


























Kata Editor

Bismillahirahmanirahim.. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pertama sekali saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua terutama para sahabat dan keluarga terdekat yang telah memberikan dorongan dan sokongan kepada saya dalam menerbitkan majalah LENSA.

Majalah LENSA yang berkonsepkan fotografi ini diterbitkan bertujuan untuk memberi sumber inspirasi kepada para pembaca dalam mengambil sesuatu gambar. Gambar yang cantik dan menarik sudah semestinya menjadi idaman seseorang dan akan menjadi sumber inspirasi kepadanya.

Teknik dalam mengambil gambar tidaklah terhad kepada sesuatu teori, sebaliknya kita bebas untuk mengambil apa sahaja gambar berdasarkan objek yang dianggap menarik. Sesuatu objek pada gambar akan menjadi menarik apabila ada kesenian dan terdapat mesej padanya.

Penghasilan gambar yang diambil ke tahap profesional adalah tidak dinafikan begitu sukar dan memakan masa yang agak lama. Walaupun begitu, dengan teknik yang betul dan kesenian yang ada semasa mengambil gambar membolehkan seseorang itu akan menjadi lebih mahir dari sehari ke sehari.

Seseorang jurufoto profesional tidak akan berjaya jika tidak bermula dari langkah pertama. Bermula dari bawah, semestinya kita diajar melakukan teknik yang betul. Tambahan pula kemahiran semulajadi yang ada akan menghasilkan kesenian pada sesuatu gambar seterusnya menjadikan kita semakin hebat.

Gambar yang menarik juga terhasil mengikut kreativiti semasa mengambil gambar dan suasana kawasan. Sesuatu pemandangan atau situasi menarik yang terlepas untuk diambil gambar akan terasa rugi dan adalah jarang untuk ia berulang lagi. Tidak hairanlah apabila seseorang jurufoto itu akan sentiasa membawa kameranya ke mana sahaja bersama-sama beg yang disandang di bahu. Pengalaman mengambil gambar sesuatu pamandangan atau situasi yang menarik akan membuatkan seseorang itu berasa puas hati dan berbangga.

Cabaran untuk mendapatkan sesuatu gambar yang menarik juga tidak kurang hebatnya. Masalah seperti kamera mengalami kerosakan secara tiba-tiba, suasana kawasan berbeza yang mungkin berbahaya dan sebagainya. Namun, setiap jurufoto perlulah bersiap sedia dan berani menempuhi pelbagai cabaran yang mungkin tidak diduga. Ingatlah di sebalik kesusahan itu ada kesenangan akhirnya. Hasrat untuk menjadi seorang jurufoto yang profesional bukanlah mudah tetapi tidaklah mustahil suatu hari nanti akan dapat mengecapinya.

No comments:

Post a Comment