05 July 2009

Aktiviti




Pesta Sungai Melaka 2009
Kerajaan negeri Melaka akan mengembalikan semula kegemilangan Sungai Melaka dari gelaran sleepy hollow kepada ‘Venice Of The East’ sebagaimana yang pernah dilalui pada abad ke-15.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam turut menyasarkan untuk menjadikan Sungai Melaka setanding dengan Sungai Antonio di Texas, Amerika Syarikat dari segi fizikal dan pengisian aktivitinya.
Usaha berterusan akan dilakukan untuk memelihara Sungai Melaka sebagai warisan yang tidak ternilai harganya. Dulu, Sungai Melaka mengalir lesu dan kotor tetapi hari ini kita bangga kerana ia telah menjadi sebuah destinasi pelancongan utama di Malaysia. Pemandangan sungai yang indah akan menggamit memori seseorang untuk diabadikan dalam gambar. Oleh itu, kegemilangan Sungai Melaka perlu dikembalikan semula sebagaimana yang pernah dilalui pada abad ke-15, sesuai dengan pengiktirafan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Upacara perasmian pesta selama sembilan hari bermula 30 Mei hingga 7 Jun lepas disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dengan telah dihadiri kira- kira 5,000 orang. Pesta Sungai Melaka telah berlangsung di Dataran Sungai Melaka, Muara Sungai Melaka, Taman Rempah dan Padang Nyiru. Pelbagai aktiviti menarik membabitkan 40 acara telah diadakan bagi memeriahkan lagi pesta itu seperti aktiviti berbentuk sukan air, persembahan hiburan dan kebudayaan, pameran dan sebagainya.
Antara acara menarik yang telah diatur sepanjang sembilan hari ialah bot berhias, perahu naga, bot kawalan jauh, cabaran badang, pertandingan melukis, fotografi, tangkap itik, pukul bantal hingga ke pertandingan memasak ikan air tawar. Pengunjung bertuah pula telah berpeluang memenangi sebuah motosikal sebagai hadiah utama di samping beberapa hadiah lain yang menarik bagi acara cabutan bertuah.
Pesta Sungai Melaka dianjurkan setiap tahun dan merupakan salah satu acara tahunan yang mana dapat menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar. Acara Pesta Sungai Melaka dapat mengalakkan orang ramai khususnya peniaga-peniaga untuk berniaga di sepanjang Sungai Melaka. Ia bukan sahaja dapat memeriahkan suasana di sekitar Sungai Melaka malah dapat mengembalikan nostalgia ataupun kenangan di masa dahulu di mana Sungai Melaka menjadi salah satu tempat perdagangan antarabangsa.

Melaka juga mempunyai cadangan memperkenalkan “water taxi” sebagaimana yang disediakan di Britain dan New Zealand, bertujuan mempelbagaikan aktiviti di Sungai Melaka. Sebatang sungai yang dulunya jijik dipandang kerana tercemar dengan sisa kumbahan dan sampah tetapi kini menjadi kebanggaan negeri.Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka menyediakan 25 buah bot penumpang bagi perkhidmatan “Melaka River Cruise” untuk membawa pengunjung meninjau keindahan pembangunan di sepanjang 4.5 kilometer dari Taman Rempah Ratus hingga ke muara sungai itu.Pada tahun lepas, seramai 350,000 orang menaiki “Melaka River Cruise” iaitu meningkat tujuh kali ganda berbanding tahun 2007 dan pada tahun ini disasarkan seramai 600,000 orang.

No comments:

Post a Comment