05 July 2009

Inspirasi Foto




















Panorama 'Sunset'

Panorama ‘sunset’ atau matahari terbenam adalah satu suasana pemandangan yang indah pada waktu senja. Setiap hari ‘sunset’ berlaku sekitar dalam pukul 6.30 petang hingga 7.30 petang. Jangka masa satu jam itu adalah waktu yang sesuai untuk mengambil gambar panorama ini. Matahari akan terbenam sebelah barat dan biasanya kita dapat melihatnya dengan jelas di kawasan pantai. Ia seolah-olah terbenam ke dalam laut, tetapi sebenarnya ia adalah satu fenomena bumi yang mengelilingi matahari pada setiap masa.

Panorama ‘sunset’ yang indah dan menarik sudah tentu akan menarik perhatian kepada sesiapa sahaja yang melihat dan menikmati pemandangannya. Bagi setiap jurufoto pula semestinya mempunyai impian untuk mengambil gambar panorama ‘sunset’ dari sudut yang menarik. Namun, bukanlah mudah bagi seseorang itu untuk mengambil gambar panorama ‘sunset’ dengan cepat dan menarik. Terdapat berbagai cara dan panduan yang boleh diikuti untuk menghasilkan gambar panorama ‘sunset’ yang menarik.

Perkara pertama yang kita perlu lakukan ialah lihat dan perhatikan keadaan cuaca pada waktu petang. Mestilah lihat sama ada cerah atau mendung. Keadaan cuaca yang mendung tidak akan kelihatan panorama ‘sunset’. Apabila mendung, matahari akan terlindung di sebalik kepulan awan. Jika hari hujan, kita juga tidak boleh mengambil gambar tersebut. Panorama ‘sunset’ biasanya berlaku dalam jangka waktu selama satu jam sahaja. Jangka masa yang singkat ini bukanlah mudah untuk mendapatkan gambar ‘sunset’ dari sudut yang menarik.

Kemudian, untuk mengambil gambar panorama ‘sunset’ yang menarik kita mestilah cari tempat yang sesuai seperti di tepi pantai atau di kaki gunung. Tempat yang sesuai memudahkan kita untuk mengambil gambar ‘sunset’ dengan jelas dan dari sudut yang menarik. Sekiranya terdapat subjek pada gambar ‘sunset’, ia akan menjadikan gambar itu semakin menarik dan menjadi seolah-olah hidup. Jika hanya mengambil panorama ‘sunset’ pula, ia adalah hanya kelihatan kepada suasana matahari terbenam di sesuatu kawasan. Memasukkan subjek dalam panorama ‘sunset’ akan menjadikan gambar tersebut lebih kreatif dan menarik. Subjek seperti orang, tumbuhan dan binatang adalah sesuai untuk dipadankan bersama.

Bagi aturan mod program pada kamera pula mestilah bersesuaian dengan keadaan suasana pada panorama ‘sunset’. Kebiasaannya White Balance kita guna kepada set ‘day light’. White balance penting sebelum kita mengambil gambar ‘sunset’ supaya kita mendapat ketepatan warna yang sama dengan suasana yang kita lihat. Dedahan jumlah cahaya (ISO) pula sesuai jika guna hanya 100 hingga 200 sahaja. ISO disetkan ke 100 hingga 160 untuk mendapatkan keamatan warna yang pekat. Ia sesuai untuk menampakkan lagi suasana ‘sunset’ dengan menghasilkan gambar dengan keamatan warna yang tinggi.

Bukaan lensa (lense aperture) pula mestilah disetkan mengikut keadaan ‘sunset’ pada hari tersebut. Jika keamatan cahaya panorama ‘sunset’ tinggi maka haruslah menggunakan set bukaan lensa yang lebih besar sedikit. Saiz gambar panorama ‘sunset’ yang diambil mestilah disetkan pada saiz gambar yang besar iaitu ‘large’ atau ‘RAW’. Penggunaan ‘tripod’ juga penting untuk menghasilkan gambar panorama ‘sunset’ yang lebih tepat tanpa sebarang gegaran. Ikut kepada kesesuaian seseorang untuk menggunakannya ketika matahari hampir terbenam dan ketika suasana langit telah menjadi gelap sedikit.


Kebiasaannya, pada waktu senja kita akan dapat melihat matahari yang bersaiz besar dan berwarna oren kemerahan. Ada kalanya juga matahari akan terlindung di sebalik awan yang rendah. Walaupun matahari tidak kelihatan sepenuhnya, ia masih tetap dipanggil ‘sunset’ kerana kita masih dapat melihat panorama langit yang berwarna oren kemerahan. Lebih menarik jika matahari pada hari tersebut bersaiz besar dan berwarna oren sepenuhnya. Kesabaran yang tinggi perlu ada pada setiap jurufoto yang ingin mengambil panorama ‘sunset’. Bukannya mudah untuk seseorang itu dapat mengambil satu gambar ‘sunset’ dengan sempurna dan menarik. Kadang-kala setiap cabaran yang ditempuhi setiap jurufoto itu akan menjadikannya semakin mahir dan tahu untuk menangani sesuatu masalah apabila ia berlaku.

Melihat panorama ‘sunset’ semestinya boleh memberi inspirasi kepada seseorang. Suasana senja yang menunjukkan matahari sedang terbenam memberi kepuasan kepada sesiapa sahaja yang melihat. Apabila kita berada di persisiran pantai ketika matahari terbenam, kita akan berasa puas bila melihat pergerakan ‘sunset’ dan memberi ketenangan kepada diri.

No comments:

Post a Comment